Nasib saudaraku di Palestin
Palestin
Isnin, 2 November 2009
KUALA LUMPUR: Mulai 1 Januari tahun depan semua kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun diwajib membuat pemeriksaan tahunan di Puspakom sebagai syarat memperbaharui cukai jalan.
Peraturan itu yang dianggar membabitkan kira-kira sejuta kenderaan, adalah antara 18 langkah baru yang diperkenalkan dalam kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP) bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan serta menawarkan kenderaan lebih selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata keperluan pemeriksaan mandatori itu adalah langkah awal ke arah pelaksanaan sepenuhnya Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV).
"Kini terdapat 2.7 juta kenderaan penumpang berusia lebih 10 tahun di jalan raya. Berbanding negara lain, Malaysia memiliki kadar pelupusan kenderaan lama yang rendah dan purata usia kenderaan yang tinggi.
"Buat masa ini, kerajaan membuat keputusan bahawa kenderaan yang berusia lebih 15 tahun wajib melakukan pemeriksaan bagi memastikan ia selamat dan boleh digunakan. Bagaimanapun butiran terperinci masih belum diputuskan lagi," katanya pada sidang media selepas membentangkan dasar baru hasil kajian semula NAP di sini, semalam.
Difahamkan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk mewujudkan sistem pemeriksaan kenderaan yang lebih tersusun